Ngeri!! Kepala ‘Dipancung’ Lif

Moscow: Seorang wanita mati di hadapan anaknya yang berusia dua tahun dalam satu kemalangan lif di kediaman mereka yang menyebabkan kepalanya putus.
Olga Tilinina, 20, bersama anaknya hendak menaiki lif di tingkat bawah kediaman mereka apabila pintu lif tiba-tiba tertutup.
Separuh badan Olga tersepit pada pintu lif dan selebihnya terperangkap di dalam.

Olga bagaimanapun sempat menolak anaknya keluar sebelum lif itu bergerak naik.
Foto
OLGA bersama anak bongsunya, Maxim.

Lif yang terus bergerak naik itu menyebabkan kepala dan badannya terputus.

Menurut laporan media tempatan, kepala wanita berkenaan ditemui di tingkat bawah manakala badannya ditemui di tingkat dua selepas lif berkenaan terhenti di situ.

Rakan keluarga berkenaan, Mikhail berkata: “Mangsa baru pulang daripada bersiar-siar bersama anaknya dan ingin menaiki lif tetapi pintu lif tertutup tiba-tiba.”

“Olga berjaya menolak anaknya keluar sebelum separuh badannya tersepit pada pintu dan bahagian atasnya melanggar lantai konkrit ketika lif bergerak naik.

“Keadaannya sangat mengerikan dengan badannya terputus dan isi perutnya terburai,” kata rakannya itu.

“Yang paling menyedihkan, kejadian berlaku di depan mata anaknya yang masih kecil,” kata seorang petugas kecemasan ketika ditemui. 

Sebelum itu, suami Olga, Dmitry, 24, menaiki lif yang sama membawa seorang lagi anak mereka Egor berusia setahun selepas keluarga itu keluar bersiar-siar.

Dalam keadaan trauma, anak mereka, Maxim hanya boleh berkata “Mama...kaki” apabila menemui bapanya yang juga terkejut dengan kejadian berkenaan.

Sebagai tanda ingatan kepada isterinya, Dmitry menulis dalam status di laman sosialnya: “Saya kehilangan seorang yang sangat saya cintai.”

Dia dalam usaha memfailkan saman ke atas syarikat penyelenggaraan apartmen itu kerana kecuaian mereka hingga menyebabkan kemalangan ngeri itu.

Pihak berkuasa Russia sudah mula melancarkan siasatan mengenai kejadian itu.
Seorang penduduk aparmen berkenaan berkata, sudah banyak aduan dibuat mengenai lif itu yang dibina sejak era Soviet.- Daily Mail