WTF - Keith Foo : Suka Duka Jejaka Hensem. (Gila Gay Ayat Aku)

Gila gay posting harini.. Cerita kisah jejaka cina yang menjadi pujaan gadis melaya... This post only for gurly.. 

BTW, im not gay! 


MENGGUNAKAN formula yang berbeza daripada pelakon lain, dia memilih untuk mengukuhkan namanya di luar negara sebelum mengambil keputusan kembali ke negara sendiri. Selama 10 tahun berusaha memahat namanya di dalam industri perfileman Indonesia, kisah kejayaannya di sana tidak berakhir begitu sahaja.

Mengambil inisiatif berbeza, dia memilih untuk kembali merasai keperitan yang pernah dilaluinya. Kali ini, tanah tumpah darah sendiri jadi pertaruhan dan dia kembali bukan dengan riak dan gaya pelakon tersohor yang popular, sebaliknya bermula daripada ‘kosong’ semula.

Dua tahun lalu nama Keith Foo,31, masih lagi asing dalam diari pilihan peminat drama tempatan. Bagaimanapun kemunculannya dalam drama bersiri Ariana Rose mula mempamerkan kelebihan jejaka kacak ini dalam kegemilangan watak sebagai anak bangsawan, Tengku Adam.

Cuba mengenali siapa sebenar Keith Foo tanpa pancaran gaya selebriti, dia memberitahu kehidupan kecilnya bermula dengan deruan kereta api.

“Saya dibesarkan di Gemas, Negeri Sembilan. Hidup dalam suasana kampung dengan latar belakang masyarakat berbilang bangsa, saya begitu selesa bertutur dalam Bahasa Melayu. Jujurnya keluarga saya bukanlah dari golongan yang berada. Ibu saya hanya membuka sebuah kedai makan dan ayah pula kontraktor biasa sahaja, kehidupan kami sederhana tetapi bahagia," katanya, memulakan cerita.

Teruja bercerita kaitan hidupnya dengan kereta api, pengangkutan popular itu sudah menjadi nadi buat kehidupan keluarganya sejak turun temurun.

“Semua tahu memang Gemas terkenal dengan Stesen Kereta Api Gemas. Sejak kecil lagi saya sudah biasa dengan stesen itu kerana membantu ibu yang membuka sebuah kedai makan di sana.

“Selain itu juga, pak cik saya sehingga kini masih mengusahakan perniagaan yang sama di stesen berkenaan. Kalau diikutkan hubungan keretapi dengan keluarga saya sangat rapat. Sewaktu zaman datuk saya dahulu, mereka menjadi tukang masak untuk penjajah British.

“Menggunakan kereta api, makanan yang dimasak datuk saya akan dihantar ke Singapura. Tidak dilupakan ayah saya juga merupakan kontraktor yang menyelenggarakan laluan kereta api. Itulah sedikit sebanyak kaitan kereta api dengan nostalgia masa lalu saya," katanya yang begitu fasih kala diajak berbicara tentang fakta sejarah, terutamanya tentang Gemas itu sendiri.

Tidak kisah sekiranya ada yang mahu menggelarkan dirinya sebagai budak kampung, menurut Keith sejak kecil lagi hubungan dengan penduduk di kawasan rumahnya memang baik. Malah sehingga ke hari ini juga, hubungan itu tidak pernah terhalang walaupun dengan status selebriti yang dibawa.

“Memang saya dibesarkan di kampung, malah ibu bapa saya sendiri selesa untuk terus berada di Gemas memandangkan semua saudara mara kami masih berada di sana. Selain itu, hubungan baik antara jiran membuatkan keluarga saya selesa untuk tinggal di kampung sahaja.

“Zaman kecil, saya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman, jadi dari situ hubungan saya dengan kawan-kawan sangat rapat. Jujurnya tiada apa yang membezakan kami, mengambil kesempatan itu saya selalu bertutur dalam pelbagai bahasa. Sehingga kini juga saya mampu menguasai beberapa dialek termasuk dialek Negeri Sembilan," katanya.

Keith merupakan anak bongsu daripada empat adik-beradik. Dia dan abang-abangnya memang terkenal dalam bidang sukan, malah sehingga ke hari ini juga sukan tidak dapat dipisahkan dalam kehidupannya. Pada zaman persekolahan dia pernah mewakili Negeri Sembilan dalam permainan bola tampar dan antara atlit sekolah yang sangat aktif membawa nama sekolahnya ke gelanggang persaingan.

“Memandangkan kawasan Gemas itu agak kecil jadi memang kami adik-beradik agak terkenal kerana aktif bersukan. Saya pernah menjadi kapten pasukan bola tampar di sekolah. Malah pernah juga mewakili Negeri Sembilan untuk Sukan Malaysia (Sukma).

“Bukan setakat bola tampar, saya juga sangat aktif dalam sukan lain seperti lumba lari. Bagaimanapun selepas tamat sahaja sekolah aktiviti sukan saya mula terbantut dengan tugasan harian lain. Cumanya saya akan pastikan badan saya tetap berpeluh dengan bermain futsal setiap minggu dengan kawan-kawan," katanya.

Dari Hong Kong ke Indonesia

Diberi kebebasan untuk menentukan jalan hidupnya, Keith memberitahu dia pernah melanjutkan pengajian di sebuah universiti tempatan. Bagaimanapun perasaan meluap-luap untuk bergelar model menyebabkan dia meninggalkan pengajian dan mengejar apa yang diimpikan sehingga bertapak di Hong Kong selama setahun.

“Bila saya dapat peluang ke Hong Kong, saya tidak pernah terfikir untuk bergelar pelakon kerana pada waktu itu saya hanya ditawarkan untuk bidang peragaan. Malangnya, fizikal saya yang lebih rendah daripada model lain menyebabkan saya hanya berakhir sebagai model iklan sahaja.

“Bagaimanapun dalam tempoh setahun itu banyak yang saya belajar, sebab itu saya ambil keputusan untuk ke Indonesia pula. Saya mencuba nasib di Indonesia bermula dalam bidang peragaan dan kemudian ke dunia lakonan," katanya.

Ternyata tempoh dua tahun berada di tanah seberang benar-benar menguji kekuatan Keith. Tanpa bergantung kepada sesiapa dia mula mencari laluan sendiri. Ternyata dengan kemunculan muka baharu setiap hari menyebabkan keadaan industri di sana agak sesak sehingga menyebabkan dia terpaksa berusaha dua kali ganda.

“Di sana kita tahu, bakat sangat ramai untuk memenuhi ruang media. Sebab itu masing-masing perlu ada inisiatif sendiri. Macam saya sendiri yang hadir pelakon luar, dengan kekurangan bahasa memerlukan usaha itu berkali ganda daripada mereka.

“Setiap hari selama dua tahun saya akan pergi sendiri ke setiap produksi bertanyakan peluang kerja. Kalau ikutkan memang perlu tebalkan muka, tetapi itulah cara kelangsungan hidup yang perlu saya dan semua bakat baharu lakukan," katanya.

Tidur di lantai

Sejujurnya, apa yang digapai hari ini adalah hasil daripada keperitan hidup yang dilalui masa lalu. Sepanjang berada di negara orang, bertubi-tubai masalah mendatang, ia tidak sedikit pun melemahkan dirinya. Keith sebaliknya berasa dia sangat bertuah untuk melalui perkara tersebut. Dalam tempoh yang perih pedih itu, banyak mendewasakan dirinya dalam pelbagai cara.

“Saya diuruskan seorang ejen, bagaimanapun dia tidak uruskan saya seorang kerana ada beberapa lagi bakat baru di bawah jagaannya. Memandangkan agensi dan rumah berada di lokasi yang sama, jadi kami hanya akan tidur di ruang tamu rumah ejen tersebut. Saya selalu tidur di lantai, kalau lambat sampai ke rumah.

“Selama dua tahun di rumah itu, rutin tidur saya hanya akan berakhir di lantai ataupun sofa. Kalau saya pulang awal, saya dapat tidur di sofa. Bagaimanapun selalunya saya lebih banyak tidur di atas lantai, beralaskan sehelai kain sahaja kerana saya selalu lewat pulang ke rumah kerana penggambaran akan habis lewat malam," katanya tanpa segan menceritakan pengalaman lalu.

Masanya juga banyak dihabiskan dengan membuat panggilan telefon ke setiap agensi peragaan. Hampir setiap hari, dia sendiri akan bertanya apakah agensi-agensi terbabit ada membuat sesi ujibakat untuk model iklan atas permintaan pelanggan iklan mereka.

“Setiap pagi, itulah tugas saya. Angkat telefon dan tanya kepada agensi “Hello, hari ini kamu ada buat casting? Nama saya Keith Foo, saya minat nak buat sesi casting. Hari-hari saya akan telefon bertanya. Kalau ada, saya akan naik 'bajaj' (teksi popular di Indonesia) dan terus pergi ke agensi terbabit. Kalau nasib baik diterima, jika tidak saya kena tunggu peluang seterusnya. Begitulah jalan sukar yang saya lalui suatu masa dahulu," katanya.

Tidak terkesan dengan pengalaman pilu yang dilalui, menurut Keith selepas 10 tahun dia sangat bersyukur diterima dengan baik peminat di sana. Malah sehingga saat ini juga dia sudah berlakon dalam lapan buah filem Indonesia.

Info Asal : Utusan