Kepala Pelajar MRSM Ayer Paabas Berasap & Mulut berbuih dipanah petir



Alor Gajah: Rambut berasap, tubuh menggeletar dan mulut berbuih. Itu detik cemas dilalui pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ayer Paabas, di sini, apabila disambar petir dalam kejadian di padang sekolah berkenaan petang kelmarin.

Kejadian jam 6 petang menyebabkan pelajar tingkatan satu, Johan Jasmin, kini koma dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Melaka.


Difahamkan, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke asrama selepas beriadah bersama 200 pelajar lain sebelum dia tiba-tiba rebah akibat disambar petir.

Mangsa yang berada di tengah kelompok pelajar rebah serentak dengan bunyi dentuman petir menyebabkan badannya menggigil, rambut berasap dan mulut berbuih.

Sumber berkata, ketika kejadian cuaca cerah, namun kedengaran bunyi guruh beberapa kali sebelum guru bertugas mengarahkan mangsa bersama pelajar lain beredar dari kawasan padang dan masuk ke bangunan asrama.

“Ketika kumpulan pelajar beriadah kedengaran bunyi guruh dan beberapa guru memberi arahan supaya beredar meninggalkan padang dan berlindung ke tempat lebih selamat.

Namun, ketika berjalan bersama 200 pelajar lain ke arah bangunan asrama, mangsa tiba-tiba disambar petir.

“Menyedari kejadian itu, guru dan beberapa rakan cuba menggerakkan mangsa, namun tiada tindak balas lalu guru bertugas terus menghantarnya ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan,” katanya, semalam.

Menurutnya, ketika rawatan kecemasan dilakukan, paramedik memaklumkan terdapat kesan lebam dan terbakar selain bau hangit di bahagian kepala mangsa dipercayai disambar petir.

Sumber itu berkata, mangsa yang berasal dari Shah Alam, Selangor, dalam keadaan lemah dan sukar bernafas selain pucat seluruh tubuh lalu diberikan bantuan menggunakan mesin pernafasan sebelum dirujuk ke ICU Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, jurucakap Hospital Melaka berkata, keadaan mangsa masih kritikal dan menggunakan bantuan mesin pernafasan serta kini ditempatkan di ICU hospital berkenaan untuk rawatan selanjutnya.

Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka Md Rashid Husin mengesahkan kejadian dan berkata, pihaknya menunggu laporan penuh mengenai kejadian dari pengurusan sekolah berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

“Saya difahamkan, mangsa bersama pelajar lain berada di atas padang sekolah berkenaan melakukan aktiviti bersukan sebelum diarahkan masuk ke bangunan selepas melihat cuaca gelap.

“Ketika berjalan masuk ke dewan, mangsa secara mengejut rebah dan tidak sedarkan diri lalu dihantar oleh seorang guru pemantau ke Hospital Alor Gajah untuk dapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, difahamkan hanya seorang mangsa saja yang terbabit dalam kejadian berkenaan, manakala lebih 200 pelajar lain selamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu, namun masih belum menerima sebarang laporan polis daripada pihak berkaitan. -hmetro