Luahan Sayu Rafidah Aziz Pemergian Suami Yang Tak Diduga
Kuala Lumpur – “Pemergian arwah sangat tidak dijangka, kami bercuti bersama-sama sebelum arwah jatuh sakit.
“Kami sempat lagi bergurau kalau hendak pergi (meninggal dunia) biarlah bersama-sama, saya kehilangan teman yang hidup bersama hampir 52 tahun,” kata Tan Sri Rafidah Aziz, balu bekas Pengerusi MAYBANK Tan Sri Mohamed Basir Ahmad yang meninggal dunia awal pagi semalam.
Rafidah turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Singapura kerana membantu membawa pulang jenazah suaminya dengan menggunakan pesawat Royal Singapore Air Force (RSAF) pagi semalam.
Sementara itu, Allahyarham Mohamed Basir selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Damansara, dekat sini, jam 6.05 petang semalam.
Jenazah yang dibawa dari Masjid Umar Al-Khatab, Bukit Damansara tiba di tanah perkuburan itu pada jam 5.30 petang.
Antara yang hadir menziarah adalah Yang Di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar, Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad Datuk Kamarudin Meranun dan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tun Ahmad Sarji Abd Hamid.
Mohamed Basir, 75, meninggal dunia di Hospital Besar Singapura awal pagi semalam akibat serangan jantung selepas dimasukkan ke hospital pada Jumaat lalu.
Tokoh perbankan terkenal itu meninggalkan seorang anak lelaki Alfian, dua anak perempuan Rohaiza dan Rohaila serta lima cucu.
Mohamed Basir adalah Pengerusi MAYBANK selama 16 tahun mulai 9 Oktober 1993 selepas berkhidmat sebagai penasihat Bank Negara sejak 1980, lapor Hmetro.